Monday, 26 December 2011

dialah guruku


kau anyam dukaku
menjadi hamparan rindu
paling syahdu
di Bumi Semambu
suatu waktu dulu

lerai kasih kita
tanpa kata
dalam usia kian menua
dan tiada perjanjian
untuk pembelaan

dia guruku
tak pernah padam
sebuah nama yang tertera
di laman pertama 
ceritera seorang puteri

KHAIRANI ABD RAHMAN
3 MEI 2005

Sunday, 25 December 2011

di garis menua ini



di garis menua ini
hampir setiap kali tingkap terbuka
adalah taubat yang melambai
mendekat para kekasih
untuk berada di taman itu
menyahut salam yang Esa
setiap pagi
bersama harum Firdausi

Maha Besar Pencipta
aku sering tewas dalam pendakian
menuju menara cahaya
setiap butiran dosa bertabur
tak terkutip
sehingga di garis ini
antara dosa dan airmata
berbaur luka
terlontar aku pada keterasingan

suatu ketika ada tangan menghulur
sebaris cahaya sebagai mimpi
anugerah kudus dan syahdu
kerana doa yang berulang.

OMAR AZDI
19 mac 1989

(antologi MAWAR MERAH DI GARIS MENUA-terbitan PERBAMA MPTAA 1989-susunan Zainuddin Abdul)

keinsafan


pertama dan terakhir
iman sezarah berkongsi rasa
Tuhan,
aku pamirkan seluruh duka
pada dunia yang memisahkan
diri dan bahasa alam
aku dirikan tembok tinggi
terentang menutup pandangan
lalu terkapar dalam kesamaran
inilah fatamorgana yang kucapai
Tuhan,
aku lebih memikirkan pengabdian
setelah pertapaan panjang
dengan cinta yang terpisah
dengan rindu yang terbunuh
tanpa airmata
pada keinsafan paling akrab.


OMAR AZDI
11 Mac 1989

(antologi MAWAR MERAH DI GARIS MENUA-terbitanPERBAMA MPTAA 1989-susunan Zainuddin Abdul)

Saturday, 24 December 2011

setanggi

ada sisa harum setanggi
malam ini
dalam kamar
dalam kesamaran paling hampa.

di ranjang
terbujur keinsafan
bakal berpanjangan
tiada gema suka
kecuali suara solehah

inilah musafir
telah diketemukan  hujung
yang tinggal terkepung
dari nafas saat akhir
seakan tak terdengar
gegar rasa di pusara,ayah.


KHAIRANI ABD RAHMAN
(Minggguan Malaysia)

(antologi NYANYIAN MUSIM (1986)-terbitan PERSEPSI & GAPRI-penyelenggara Lim Swee Tin & Awang Abdullah)


sekadar mengingati

sesekali turun ke padang
memijak rumput-rumput
mematah ranting-ranting
tanpa kasut
terasa peritnya

sesekali mendongak ke langit
melihat tompokan awan
bergerak ditiup angin
perlahan-lahan
seakan sama
di mana-mana

biarlah sesekali
mendongak apa  dijunjung
melihat apa dipijak
sekadar mengingati
yang hakiki.

KHAIRANI ABD RAHMAN

(antologi SAADONG (IV)-terbitan PPK 1984-sempena perkampungan puisi di Kem Kijang)

yang tak pernah selesai



i.
aku tidak sempat menyiapkan
perahu kertas,untuk belayar
                       di pantai
dan timbul di tebingmu.
aku tidak sempat menyiapkan
                         calitan,hujan
yang menerjang ganas di kanvas,
                           tiba-tiba
mewarna wajah cinta.

ii.
di sini puisi kecil bertamu
                        di pantai
calitan aneh mengintai.

KHAIRANI ABD RAHMAN

(antologi OMBAK II (1986)-terbitanPPK sudut Bachok-penyelenggara Rusman Salim)

Friday, 23 December 2011

di taman firdausi


"Aliran air yang mengalir
adalah taman untuk kita,insani
beristirehat buat selamanya
setelah berabad berjuang
atas segala keterlanjuran masa lalu".
kata-kata berakhir ketika
hujan hampir reda.
Kau terdiam dan aku mulai menangis
sepanjang malam.

KHAIRANI ABD RAHMAN

(antologi Stanza Alam-Kelab Kreatif &Sastera MPTAA 87)



menara

di puncak menara api membakar
dan di jendela kaca adalah dera
antara ruang-ruang sempit
ingin kukembali menjadi pendaki
di kakinya.

kepulan hitam menjulang awan
tiba menerjah  sebuah wajah
berabad menelan warna alam.

ia tiba-tiba bergegas dengan tangan menyapu wajah
berdiri di menara menggenggam bara.

KHAIRANI ABD RAHMAN

(antologi Stanza Alam-Kelab Kreatif & Sastera MPTAA 87)

Wednesday, 21 December 2011

kesementaraan

di jendela bas
waktu berlari dari pohon ke pohon
sedang aku masih termangu
menghitung gugur daun
dalam kesamaran

dari kejauhan ini
aku lebih fasih untuk segala
di sini aku kenal diri
dengan ratap yang terpendam
tak siapa memanggil namaku
tak juga kukenali mereka

dalam usia kian menua
kita lebih mengerti
perjuangan yang memanjang
kesempatan di jendela itulah
melerai mimpi semalam.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Stanza Alam-Kelab Kreatif & Sastera MPTAA-1987)

Tuesday, 20 December 2011

sebuah sajak

sajak ini telah gugur suatu petang
menjadi daun-daun kering di laman
lalu menutup sebahagian pasir-pasir halus
menanti suara angin lirih
bertamu kembali dalam gelap malam

ia masih di situ menghadapi
sekian perubahan warna

tiba-tiba sajak itu tertera disebuah wajah
di bawah langit tengahari
antara lautmu dan pantaiku
di sini ia terkutip kembali
menjadi sebutir mutiara dari dasar lautan.


KHAIRANI ABD RAHMAN

(Antologi Stanza Alam-Terbitan Kelab Kreatif &Sastera MPTAA 1987)

catatan

yang setitis dari selautan itu adalah kami yang kerdil. Bumi semambu yang masih kelam bagi kami menjanjikan sesuatu yang gemerlap. Degup alam dan rentak penghuni cuba kami serapkan. Sedikit kemampuan yang ada kami adunkan bersama dalam 'stanza alam' dalam memohon keredhaan. segala gelodak seni ini menuju yang satu. kemunculan kami dalam serba kekurangan namun terimalah....wassalam.


KHAIRANI ABD.RAHMAN
MPTAA ,Oktober 1987

dokumentasi kehidupan

tamu ini pernah hadir
suatu hari
bertanya tentang seekor burung
yang patah sayapnya
namun kembali
dengan soalan tanpa jawapan
di rumah tidak berpenghuni
di pintu tidak bernombor

dia tenang seketika menganyam kehidupan
helaian demi helaian
menjadi hamparan penuh makna
akukah kelewatan
mencari akar kewujudan
atau salasilah keperibadian

meneliti memorial seekor burung
terpacak teguh di menara
mengingati aku
untuk menghormati wadah
yang tersurat dan tersirat
dalam dokumentasi
tetamu baru ini.


KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

17 april 2005

mencari diri

maaf,
bermusim suara Ernest Hemingway
menyapu bersih seluruh ingatan
sehingga mimpi-mimpi jua
sebahagian kata-kata
Lim Swee Tin teman lama
telah hilang keakraban

setelah tsunami dan gempa
menyerbu birai tangga
kukutip deraian-deraian pilu
kuintai jeti harapan
ada secalit luka
untuk kulontarkan

bukan sebagai Charles Dickens dengan Oliver
atau Shakespears dengan Mac Bethnya
cukup untuk kembali
mewarnai kanvas sastera
di sini ada rasa,ada kata,ada warna
mencari kepuasan.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

khabar dari cikgu

pagi kelmarin seorang guru
mengayuh basikal
membawa kapur merah dan putih
melakar di papan hijau
hanya beberapa ayat
 
pagi ini seorang guru 

dari daerah pendalaman
membawa komputer ribanya
menarik skrin putih
lalu berlangsung suatu pengajaran

kini aku seorang guru
melayari internet saban malam
melakukan perbincangan di talian
menggenggam telefon bimbit
sesekali membuka dompet
kian kempis
kerana ilmu semakin mahal
di ruang langit terbuka.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(Mingguan Malaysia-17 april 2005)

cerita lelaki kecil

suatu hari
kutemui seorang lelaki kecil
dengan penyedut di mulut
di tangannya sekotak air susu
beredar keluar dari kamar kecil
tanpa menyedari kesilapannya
telunjukku menuding kearah
ustazah muda yang tersenyum
sehingga terlupa
tiga jari lagi menuding
kepada diriku jua
seorang guru dunia global
ah! Sukarnya kerja guru.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(Mingguan Malaysia-29 jun 2008)

Sunday, 18 December 2011

lambaian harapan

dengarkan duhai remaja
suara-suara membangunkan tidurmu
tamatkan mimpi di situ cuma
bangkitlah membuka jendela
memandang lambaian negara

ayunkan langkah-langkah perkasa
menabur bakti di bumi bertuah
muga jiwamu dialiri kecintaan
kepingin melihat kestabilan nusa
banggakan serumpun bangsa teragung

himpunkan keberanian di dada
dalam mengenang budi
tanah kelahiran tercinta
terusan dahaga bakti.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Bunga Bangsa RTM)

selama mana begini

cintamu
sekelam cahaya pelita
menghiasi sudut kamar

dan aku perenung setia
melihat nyalaan sepi
asap yang hitam
mengaburi tudung kaca

sebeginikah sebuah penghidupan
sedang di sebuah sudut
neon telah menguasai gelita
aku harus permisi
mencari cahaya gemilang
menghidu asap pelita

ruang tak bererti
izinkan seorang aku
mewarnai sekuntum cinta

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Mingguan Bumi)

SUKARNYA MEMULAKAN SEBUAH KEBERANGKATAN

perjalanan ini
adalah langkah-langkah sukar bermula
sedang sepi kian berundur
mengungsi jejak-jejak mesra
sepanjang perjalanan

bicara adalah ledakan rindu
tersembunyi di celah himpitan tawa
lalu masa telah sampai
untuk memulakan keberangkatan
kembali pada suatu perjalanan
pulang

bagaimana untuk memulakan
kerana perjalanan ini
harus memikul nostalgia
dan perpisahan begitu perlu
di sebuah persimpangan
antara kita perjalanan masih jauh
langkah-langkah sukar bermula
namun pasti bermula.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Saadong III)

keraguan

tarian inangmu dalam arus kuning
biarpun beribu mata melirik
di celah paluan gendangmu

alunkan dondang sayang
pada bibir berkedut
dan songel menyumbat
muga hilang setitis rindu
yang bertapak di hati abad

mungkin ditemui
setelah Tanggang bermahkota
tak hairan pada sumpahan
jua tangis sendu ibu
hanya ini kelekaan
mendaulat dada nipis

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Majalah Prestasi-Januari 1984)

Saturday, 17 December 2011

ruang cinta ini

terima kasih sayang
undanganmu di ruang ini
memimpin dan menyusuri
pada pantai damai
bermain buih-buih cinta
mendengar gelombang rasa

dulu
kupulaukan ruang cinta
sangsikan kemanisannya
bimbang akan kekecewaan

pun masa kian merubah
mencair kedegilan
membuka pintu kamar
persilakan
seorang kekasih
menadah cinta termahal.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Majalah Remaja-Febuari 1984)

terus sepi

seorang tua
membuai mimpi semalam
di wajahnya
ribuan cerita
di kerutan usia
tanpa suara

alamnya semakin sepi
perjuangan itu
tidak diminta

sepi melata
tubuh terlantar
seakan memanggil
berkongsi suarasanya
kutanyakan hati
kiranya di situ aku
begitukah jua?

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

12 Mac 1984

persis kotamu

kota
cerita darimu mengharukan
tentang debu-debu liar berterbangan
kepalsuan menerjah setiap penjuru
apakah benar kotaku?
kedamaian hangus
dibakar mentari pembangunan
kebudayaan tercalar
diamuk arus kebaratan
dan setiap senyummu
adalah penghias bibir

namun kotaku
di desa yang dikatakan sepi
desa penuh kedamaian
umpama mawar putih
di laman ibunda
kutemui benih-benih kehancuran
yang melata dalam bisu

kerana kotaku
kehancuran tidak mengenal sesiapa
ketenangan jua di mana saja
menanti pemburu suci
bukan pelari lelah
yang tidak dipersoalkan
jua sering menyalahkan
bila diri menjadi tewas.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(dari kampus ke kampus- 21 April 1984)

Friday, 16 December 2011

syuhada

kupetik namamu
antara ribuan yang menguntum
di laman perjuangan 
menghiasi taman puisiku
mengocak suarasa
muga kaumilikku

syuhada
fana memancar keindahan
dengan ledakan namamu
bilaku memanggil berkali-kali
 umat Muhammad kian rindu
menanti ketibaan syahidnya

syuhada
malam ini kita berkumpul
menghidupkan ingatan semalam
jua pada ingatan kini
bumi Palestine yang trajis
datang! datanglah!
membuka sila keimanan

hari permuliakan kedudukan
insan asyik maha rindu
dengan arif kebaikan
melalui lorong ketuhanan
sepuluh Muharram bertamu dalam ingatan
sebuah nostalgia padamu
syuhada yang kian jauh.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(majalah Prestasi--Jun 1984)

jalan pulang

senandung malam utara
menyusuri perhentian
menyambarku di gelap malam
tenggelam dalam ribuan nafas
sesak teramat

di perjalanan ini
kita adalah penumpang
menuju satu matlamat
dalam dingin dinihari
daerah demi daerah dilintasi
tanpa sedar

kadang tak terduga
dalam mencapai tujuan
tiada lagi persoalan
siapakah antara kita?
dan keterpaksaan ini
menemukan aku
pada sesuatu
terlalu sukar diperkatakan.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(sudut sastera-rtm kota bharu-16 julai 1984)

Thursday, 15 December 2011

sekadar salam

telah kusampaikan
salammu pada ombak Pantai Irama
pada pepasir
yang pernah kautiduri
pada angin
nakal mengusikmu

kata omabak
hempasannya telah kaulupa
begitu juga pasir-pasir
telah lama tak kaujamah
bisik angin
desirnya kaubiarkan

lalu untuk apa sebenarnya
sekadar salam menjengok
sedang di hati
tak ingin ke sini lagi


Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.



Khairani Abd Rahman

persilakan

siapkan sebidang tikar
anyamanmu
sediakan sedulang makanan
bakal dihidang
pada tamu yang tiba
n
 o
   v
     e
       m
          b
            e
              r.


Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Majalah Aktual)

begini akhirnya

sekuntum senyummu
adalah rindu bertahun
mengalir di rekahan bibir
janji-janji manis

dan antara kita
tak pernah diketemukan
pada ilusi indah
menyelongkari senyum
menilai erti perjanjian

lalu kitapun tiba
di titik pertemuan
mencari sebuah makna
dalam keterpaksaan
aku menjadi patuh
kerana kita
telah begitu akrab.

Khairani Abd Rahman

(Majalah Remaja-Ogos 1984)
Bachok,Kelantan.

Tuesday, 13 December 2011

detik-detik kebebasan

meniti hari-hari kelam
penuh ketabahan
menentang ombak-ombak ganas
tanpa rintihan

sesekali ribut menggila
kau tetap utuh
bersama era baru
membantu pernafasanmu

dewasalah kini
berdiri dengan pengalaman
bergayut di dahan keyakinan
merdeka! merdeka! merdeka!

31 Ogos bertamu lagi
raikan hari ini
di pantai sejarah
pada amukan pembangunan

inilah sumbangan
puisi-puisi kebebasan
buatmu negara tercinta
dalam mengingati kemerdekaanmu.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan

(sudut sastera rtm Kota Bharu 27 Ogos 1984)

Sunday, 11 December 2011

seorang guru

berdiri penuh harapan
merenung disegenap perlakuan
memaksa diri untuk senyum
biar kadangnya
kesabaran tertendang
kemampuan tercabar

begitulah dia
bertamu dalam kehidupan
menyelami ratusan jiwa
disebalik wajah-wajah
suka dan duka

tiada salahnya
seorang guru
adalah seorang kekasih
maha akrab
bagi murid-muridnya.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan

(antologi puisi Lambaian Harapan-terbitan PPK 1984-Penyelenggara Lim Swee Tin)

lewat malam ini

berada di meja begini
malam yang larut
menimbulkan pertanyaan
apakah pencarianku?
menelan kesejukan
pada hujan yang lewat
segera mengingatkan
ada insan dibuai mimpi
maha indah
jua masih ada
gelisah menanti siang
kerana esok
tidak pernah menjanjikan apa-apa.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.

(Dewan Siswa Julai 1984)