Tuesday 17 September 2013





UNTUKMU WIRAKU

Apa khabar saudaraku
di pergunungan sana
masih ada kaki-kaki ganas
terus melangkah
merentasi kabus
mencari puncak
mencari kepuasan.

Aku tahu
tidurmu masih lena bersama mimpi
makanmu terus berselera
kerana wiraku
tetap setia di garis perjuangaan
kerana kita terus bangkit
terus melangkah
bebas dari sengsara.

Terima kasih saudaraku
sering menjunjung
cinta kasih di bumi tercinta
terus menadah tangan
untukmu wira di perbatasan
masih ada tangis ketika gugurmu
masih ada ragu dalam pengorbananmu
pertahankn langkahmu
dalam derap sekata
kerana akal kadang mengalah
ketika emosi membakar
untukmu pejuang bangsa.

- KHAIRANI ABD.RAHMAN
24 Mac 2013

(antologi sajak BUKAN MENARI DI PENTAS PELURU-Persatuan Penulis Kelantan)

Thursday 20 June 2013

CERITA CINTANYA

CERITA CINTANYA

Seorang kawan bercerita tentang cinta silam
dalam pelayaran sebuah kapal di lautan
tak berhujung tanpa pelabuhan.

Ketika burung masih berterbangan
hempasan ombak masih berlagu
deruan angin berdesir membelai lembut
sewaktu berdiri di pelantar.

Seorang anak kecil yang hadir
adalah untuk dipisahkan
sewaktu kapal menukar haluan
untuk kembali melupakan destinasi.

Setelah mimpi bersatu menjadi nyata
masing-masing tenggelam di lautan sepi
terasing menjadi sebuah kebimbangan
untuk melayari
sebuah kapal milik hakiki
mencari pelabuhan abadi
dalam kesementaraan begini.

-KHAIRANI ABD.RAHMAN
BACHOK,KELANTAN

Wednesday 5 June 2013


DIA YANG DIAM

Dia telah memalingkan wajah sugulnya
tak mampu menatap wajah
ceria seorang perempuan peneman
malam sejak dulu, sudah bertahun.
Dia telah melempar jauh setiap
kata yang lama terkumpul
di hutan rahsia.
Dia lebih selesa bersendiri
dalam gelap malam tanpa selimut
dan membiarkan seluruh mimpi-mimpi indah
gugur satu-satu
di hujung malam.
Dia semakin lama bertafakur dan
menadah tangan di atas sejadah
di rumah itu,dengan mata
berkaca dan bisikan maha kudus.
Dia ingin pulang ke pelantar
kasih seperti dulu,mendirikan
tiang luhur dan merapatkan
lantai mesra
yang renggang,kabur dan berdebu.
Dia ingin menyapu setiap ruang
yang tercela sekian lama,
mengembalikan seluruh sinar
sudut kamar,
mengembalikan seluruh senyum
yang telah hilang beberapa ketika.


KHAIRANI ABD.RAHMAN

Tuesday 28 May 2013

NOTA KECIL BUATKU



NOTA KECIL BUATKU

katamu buku kecil ini untukku
yang sering menulis
yang suka mencatat apa saja
kerana jarimu lebih pantas bergerak
mengukir kata indah
biar suaramu sering menggamit lagu rindu
itu katamu
nota itu sudah kehabisan ruang
engkau lihat hanya angka-angka
tercatat untung dan rugi
maaf...kata-kata telah tercicir
setelah aku ditewaskan digelanggang tanpa pengadil.

Khairani Abd Rahman
Bachok,Kelantan.
28052013