Monday, 28 November 2011

impian satria di suatu keberangkatan

tangis sendumu
merelakan seorang satria
berangkat ke persada negara
di langkah teramat payah
membimbit rindu
setia kasih
seorang dewi

di sini kukalungkan
untaian bicara
lambang keagungan
cinta satria negara
muga puisi-puisi indah
bertamu di sukmamu

antara janji-janji pengembalianku
biarpun penuh kekaburan
agar takdir menemukan
di laman paling manis
bertukar senyum
memetik buah rindu.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(satria pertiwi-18 mac 1984)

yang tak pasti

suaramu
gemersik pepohon padi
bersentuhan

akulah pemuja
menanti perkhabaran
penuh harap
dalam debaran

sampai bila penantian
usia kian dimamah
musim padi telah pergi
khabar datang
bukan untukku
kejemuan kian memuncak
kepalsuan menendang pintu harap

janji telah dimungkiri
aku bukan penagih
menanti suaramu lagi.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi puisi Lambaian harapan 1984-terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

bicara

betul juga kata-katanya
bicara demi bicara
sekadar untuk tatapan kita
tentang fragmen sekitar
tentang kehidupan seharian

bukan daya kita
berbicara dan berteriakan
yang semakin parau
sedang suara itu
tiada pendengar
pun kadang-kadang
sengaja tidak didengari

mari kita berbicara
tentang anak-anak
malas ke sekolah
tentang remaja
hanyut di arus cinta
tentang kita
mangsa gelandangan.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian harapan 1984-terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

Saturday, 26 November 2011

selama usia ini


lalu akupun menghitung
usia yang terlanjur
tanpa apa-apa
lewat jalanannya

sebuah perkhabaran
adalah senyum harapan
di bawah mentari siang
waktu masih merentang
untuk memburu
cebis-cebis perjuangan
di hamparan suci

sebagai tetamu
mengungsi kebeningan alam
meraut khazanah di perut
membina ribuan keindahan
yang ditinggalkan
pengembalian ini mengakhiri usia
menilai keterlanjuran.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984-terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

Wednesday, 23 November 2011

padamkan saja

padamkan api antara kita
agar dapat duduk
bersemuka beramah mesra
bicara apa saja

padamkan api antara kita
di ruang sempit ini
begitu sukarku bernafas
berbaur asap luka

padamkan saja
kerana api merah itu
sekadar mengingatkan
harapan yang terbakar.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi puisi Lambaian Harapan 1984- Terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

kedhaifan

entah keberapa kali
kemarahan yang tersambut
dalam keterpaksaan

selaku seorang banduan
tanpa kesalahan
menjalani setiap hukuman

dan segalanya ini
adalah suratan
sebagai mangsa
melepas geram.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi puisi Lambaian Harapan 1984- Terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

seorang syahid

selama mana
harus membenam kerinduan
dunia
merenangi lautan
bernama kemaksiatan
tanpa penghujungnya

sedang para syuhada
di puncak pengorbanan
rindu akan Tuhan
mempertaruhkan
setitik darah
dirasai berjuta umat

sepertimu jua
kuleawati darjat kerohanian
penuh bercahaya
keranamu
menghidup roh keberanian
menerangi jalan kebenaran.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984-Terbitan PPK -penyelenggara Lim Swee Tin)

Tuesday, 22 November 2011

pertapaan


di perbukitan ini
bukan ratapan nasib
seorang pelarian jiwa
adalah pencari restu
yang lama menghanyutkan
sekian kebahagiaan
tentang rohani
antara ribuan pemburu
berbaur rasa
cita
biarlah
dalam keghairahan
seorang pertapa dilupakan
ia juga pemuisi
dalam rangkaian doa suci
dan cemburu
bukan miliknya.

KHAIRANI ABD.RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi puisi Lambaian Harapan 1984-Terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

milik warisan


tayangan belum selesai
sang penonton tertewas
keghairahan kian hilang
tertunduk lemah
tidak mampu menatap lagi

kerana ia adalah pelakon
di zaman-zaman kegemilangan
dan kali ini
wataknya tiba-tiba muncul
di layar perak
oleh sang anak

mengertilah
dalam kerahsiaannya
lantas terbongkar
menjadi milik warisan.

KHAIRANI ABD.RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984 -TerbitanPPK - Penyelenggara Lim Swee Tin)

perdebatan

apakah soalan itu
sering menjadi salah
lalu pertanyaan tak terjawab
dan akukah yang salah
atau sengaja dipersalahkan
untuk menegakkan
benangmu yang kekuyupan
akupun mengerti
dalam situasi ini
masing-masing menajam taring
biarpun sesekali
tertusuk bibir sendiri.


KHAIRANI ABD.RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984- terbitan PPK -penyelenggara Lim Swee Tin)

sebatang lilin

sebatang lilin terpadam
ruang kembali sepi
bagai dulu
merentap sinar
begitu hendaknya

sebatang lilin
membakar diri
menerangi kegelapan
membawa pengertian kasih
lantas ditinggalkan

dalam termangu
mencair diri
menilai keperibadian.

KHAIRANI ABD.RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984 -Terbitan PPK- Penyelenngara Lim Swee Tin)

ombak pantai irama

engkau terdera
dalam alun ketenangan
rintihan yang payah
dalam kegamatan
bisik dan bicara
suaramu dijauhi

hanya nelayan tua
getir pada gelora
musim tengkujuh
menyelongkari suara tenang
debur ombak
jua dingin buihmu.

KHAIRANI ABD RAHMAN
Bachok,Kelantan.

(antologi Lambaian Harapan 1984-terbitan PPK-Penyelenggara Lim Swee Tin)

Saturday, 19 November 2011

first experience.


assalamualaikum..

saya maseh baru d cni. dlm dunia blog. so, jika ada yg kekurangan, mohon dimaafkan. :)